POLISI AKTA PERDAGANGAN STRATEGIK ("STA")

PENGENALAN
Contraves Advanced Devices Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya (secara kolektif "Contraves") komited sepenuhnya untuk mematuhi semua kawalan eksport dan undang-undang perdagangan strategik Malaysia yang terpakai, khususnya Akta Perdagangan Strategik 2010, pindaan-pindaan dan perundangan subsidiarinya (secara kolektif "STA2010").

Selaras dengan tadbir urus yang baik dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab, Contraves akan mematuhi peraturan eksport dan import yang berkaitan dalam bidang kuasa di tempat kami menjalankan perniagaan. Polisi ini terpakai kepada semua pekerja Contraves dan semua individu dan/atau entiti yang terlibat dalam sebarang transaksi perniagaan dengan Contraves.

OBJEKTIF
Polisi ini diwujudkan untuk:

  • Melindungi keselamatan negara, dasar luar negara dan obligasi antarabangsa selaras dengan STA2010.
  • Mencegah pemindahan barangan strategik, teknologi terkawal, perisian dan/atau perkhidmatan berkaitan tanpa kebenaran.
  • Melaksanakan program pematuhan dalaman yang mantap, merangkumi usaha wajar, pelesenan dan penyimpanan rekod.
  • Memastikan akauntabiliti pekerja yang jelas dalam memenuhi tanggungjawab kawalan eksport.
  • Mengurangkan risiko penalti, kemudaratan reputasi dan gangguan operasi akibat ketidakpatuhan.

KOMITMENT
Untuk mencapai objektif-objektif ini, Contraves komited untuk:

  • Menyediakan program latihan dan kesedaran berterusan berhubung pematuhan STA2010, kewajipan kawalan eksport dan akibat daripada pelanggaran peraturan-peraturan berkenaan.
  • Mewujudkan dan mengekalkan prosedur kawalan eksport rasmi dan pematuhan STA2010 dengan struktur, proses dan dokumentasi yang jelas.
  • Melantik pekerja-pekerja tertentu untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti STA2010 dan kawalan eksport, dengan pelaporan teratur kepada pengurusan kanan.
  • Melaksanakan ketekunan wajar dan saringan menyeluruh terhadap pelanggan, pembekal dan pengguna akhir, untuk mengelakkan transaksi yang melibatkan pihak terlarang, barangan dan/atau aktiviti terhad atau terlarang.
  • Memperoleh semua permit, kebenaran, kelulusan dan lesen yang diperlukan di bawah STA2010 daripada pihak berkuasa berkenaan sebelum mengeksport, memindahkan dan/atau membrokerkan barangan dan/atau perkhidmatan strategik.
  • Memantau pematuhan melalui audit dalaman berkala, semakan sistem dan tindakan penambahbaikan berterusan untuk memastikan keberkesanan langkah kawalan eksport.
  • Melarang keras semua aktiviti yang menyalahi undang-undang, tidak beretika dan/atau tidak mematuhi undang-undang berkaitan dengan barangan, teknologi dan/atau perkhidmatan terkawal.
  • Memastikan semua transaksi, kelulusan dan/atau dokumentasi pematuhan yang berkaitan dikekalkan mengikut prosedur penyimpanan rekod Contraves dan undang-undang yang terpakai atau berkuat kuasa.

Pekerja-pekerja dikehendaki mendapatkan penjelasan atau panduan daripada pihak Pengurusan sekiranya ragu mengenai keperluan pematuhan STA2010 dan melaporkan segera sebarang pelanggaran yang disyaki, isu-isu berbangkit, tanda amaran dan/atau kebimbangan ketidakpatuhan kepada penyelia mereka, Ketua Jabatan dan/atau Ketua Pegawai Eksekutif.

Dalam tempoh sepuluh (10) hari bekerja dari tarikh pengeluaran seperti dinyatakan di bawah, semua pekerja dianggap telah membaca, memahami dan menerima Polisi STA ini dan semua peruntukannya yang terkandung di sini. Sebarang pelanggaran Polisi ini akan tertakluk kepada semakan dan akibat yang sewajarnya.

Polisi ini hendaklah disemak dan dikemas kini dari masa ke masa bagi memastikan kandungannya kekal relevan dan berkesan. Versi terkini Polisi ini akan diedarkan melalui e-mel kepada semua pekerja oleh Kawalan Dokumen serta dipamerkan dengan jelas di premis Contraves.

Tarikh kuatkuasa 03 Oktober 2025
Untuk dan bagi pihak CONTRAVES ADVANCED DEVICES SDN BHD

SYLVIA SINNIAH

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF